Pintu gerbang Kundasang War Memorial
/

Memperingati mangsa tawanan perang di Kundasang War Memorial

Dedicated to the lasting memory of the 641 British servicemen
Who died in terrible circumstances
In the Sandakan prisoner of war camp
On the death marches and at Ranau 1943-1945
They shall not weary them, nor the years condemn
At the going down of the sun and in the morning
We will remember them

Demikianlah ayat yang termaktub pada batu plak hitam dengan bendera United Kingdom di English Rose Garden, salah satu taman bunga yang terdapat di Kundasang War Memorial (Tugu Peringatan Kundasang).

Di sana terdapat juga taman-taman lain termasuklah Australian Garden, Borneo Garden dan Contemplation Garden.

Terletak di Kundasang, tugu tersebut memerlukan dua jam perjalanan menggunakan kereta dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Ia dibina untuk memperingati tentera Britain dan Australia yang terkorban di kem tahanan Sandakan dalam perjalanan ke Ranau.

Pada tahun 1942, seramai 2,400 tawanan perang dibawa dari Singapura sebagai buruh paksa untuk membina landasan kereta api di kem tahanan Sandakan.

Dari bulan Januari ke Ogos 1945, pada pengakhiran Perang Dunia Kedua, para tawanan perang dikerah untuk berjalan sepanjang 260 kilometer dari Sandakan ke Ranau.

Kebanyakan mereka dipercayai terkorban akibat serangan penyakit, kebuluran dan penderaan tentera Jepun.

Hanya 6 orang, kesemuanya warganegara Australia terselamat setelah mereka berjaya melarikan diri.

Penduduk tempatan turut membahayakan nyawa mereka dengan memberi makan dan menyorok tawanan sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Dibina pada 1962, tugu tersebut juga memperingati pengorbanan dan kesengsaraan penduduk Sabah.

Ide untuk membina tugu tersebut datang daripada Major G.S. Carter, seorang warganegara New Zealand pada awal 1960s.

Ia kemudiannya dibina menggunakan dana dikumpul oleh penduduk tempatan dan asing di Sabah.

Malangnya, tugu tersebut telah terabai sehinggalah seorang lelaki Thailand Sevee Charuruks berjaya memulihnya pada tahun 2004.

Tugu tersebut sangat sesuai dibina di kaki Gunung Kinabalu kerana penduduk tempatan percaya awan-awan yang menyelaputi gunung tersebut melindungi roh-roh mereka yang telah meninggal dunia.

Surat-surat khabar mengenai perjalanan maut Sandakan (death march) tersebut turut dipamerkan.

Apabila memasuki kawasan tugu, para pengunjung akan memasuki Australian Garden dimana terletaknya bendera Australia dan plak berjudul ‘Kinabalu Kundasang War Memorial and Australia’.

Terdapat juga sebuah panel ditulis dalam bahasa Inggeris dan Melayu tentang sejarah sebalik tawanan perang di Sabah.

Sementara itu, Borneo Garden pula memperingati mangsa-mangsa peperangan di Sabah yang cuba menolong pihak tawanan namun terkorban.

Di Borneo Garden juga, terdapat pokok-pokok bunga yang boleh dijumpai di Sabah.

Manakala di Contemplation Garden, berdirinya panel-panel dibina pada tahun 2011 yang mempamerkan kesemua nama-nama mangsa peperangan tersebut.

Amat menyayat hati apabila melihat lebih 2000 nama yang terpampang sepatutnya diingati bukan sahaja sebagai mangsa tawanan perang, malah sebagai seorang sahabat, anak, bapa dan abang.

Yang lebih menyedihkan, sebanyak 38 nama tidak sepatutnya termaktub pada panel tersebut kerana mereka berjaya sampai ke Ranau walaupun dalam keadaan yang lemah.

Namun demikian, mereka telah ditembak mati oleh pihak Jepun kira-kira 12 hari selepas Jepun menyerah diri pada 15 Ogos, 1945.

Previous Story

Top 10 things you need to know about Rafflesia plant

Next Story

Pastor Ding, ahli sejarah Kayan luar biasa

Latest from KAJOMAG MY