


Pada tahun 1970an, terdapat seorang lelaki berbangsa Kayan di Mendalam, Kalimantan Barat, Borneo dikenali sebagai Pastor Aloysius Johannes Ding Ngo yang bertungkus-lumus mencatat tradisi dan mitos kaum Kayan.
Beliau mendapat pendidikan beliau di Belanda dan merupakan orang Dayak pertama yang menjadi paderi Katolik.
Beliau bekerjasama dengan Lii’ Long, seorang penyanyi yang juga berasal dari Mendalam untuk mencatat cerita-cerita dongeng tersebut.
Pada tahun 1974, beliau memulakan perjalanan beliau ke Baram, Tubau dan Balui (Belaga) di Sarawak dan kemudiannya ke Kapuas dan Mahakam di Kalimantan Barat, seterusnya ke Samarinda pada tahun 1977 dan Apo Kayan pada tahun 1980.
Sepanjang perjalanan beliau, Pastor Ding akan menulis pengalaman beliau dalam bentuk diari dan gambar etnografi dan kemudian menghantar buku tersebut kepada rakan-rakannya.
Beliau juga menemu-bual mana-mana orang Kayan yang beliau terjumpa terutamanya mereka yang berpengetahuan dalam tradisi kaum tersebut.
Pastor Ding mempunyai kelebihan yang unik, beliau pandai menulis dan fasih bertutur dalam enam bahasa iaitu Kayan, Belanda, Latin, Indonesia, Jerman dan Inggeris.
Antara catatan terpenting beliau ialah Takna’ Lawe’, cerita mengenai legenda orang Kayan.
Lawe’ dianggap sebagai hero oleh Kayan Mendalam dan ceritanya tersebar ke orang Kayan di Balui, Baram, Mahakam dan Apo Kayan.
Namun di Balui, Lawe’ dikenali sebagai Belawan.
Pastor Ding juga menulis buku setebal 900 muka surat yang berjudul Sejarah Orang Kayan dan kamus Kayan-Indonesia yang termasuk perkataan-perkatan lama yang jarang diguna pada zaman sekarang.
Sepanjang hidup beliau, satu-satunya buku berjaya diterbitkan ialah ‘Syair Lawe’.
Buku tersebut diterbitkan pada tahun 1984-1984 oleh Gadjah Mada University Press.
Selebihnya buku-buku beliau dikumpulkan dan disebarkan dalam bentuk salinan karbon dan foto di antara orang Kayan tempatan.
Antara manuskrip yang belum diterbitkan ialah Takna’ Idaa’ Beraan dan Takna’ Kabuk Buaang oleh Juk Linge dan Lii’ Long, Takna’ Bakunng Dawing dari Mahakam dan Lung Jalivaan Hajaan yang terdiri daripada 22 cerita dongeng orang Kayan.
Malangnya, Pastor Ding meninggal dunia ketika menulis autobiografi beliau berdasarkan perjalanan hidup beliau semenjak 1940s.
Beliau meninggal dunia pada 6 Jun, 1995 di Sintang, Indonesia, 10 bulan sebelum hari jadinya yang ke-80.